Halaman

Wednesday, 18 February 2015

1MDB: Bayar hutang RM2 bilion dari sumber mana?

KUALA LUMPUR: PAS hari ini mempersoal sumber kewangan yang digunakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM2 bilion dalam membayar hutang kepada bank-bank di Malaysia.

Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda pada 14 Februari lalu dalam kenyataannya memberitahu 1MDB telah menyelesaikan sepenuhnya hutang bernilai RM2 bilion yang dipinjam oleh anak syarikat, Powertek Investments Holdings Bhd.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar ketika mengulas kenyataan Arul Kanda itu berkata, 1MDB perlu menyatakan sumber kewangan yang digunakan untuk membayar keseluruhan hutang tersebut.

"Adakah 1MDB menggunakan wang yang dikatakan telah dibawa pulang hasil pelaburan di Kepulauan Cayman ataupun sebenarnya meminjam pula daripada sumber kewangan pihak lain untuk membayar hutang.

"Terdapat juga ura-ura yang mengatakan 1MDB diselamatkan oleh Hartawan, T Ananda Krishnan melalui syarikatnya Usaha Tegas.

"Jika benar ini berlaku, ia sungguh memalukan bukan sahaja 1MDB tetapi kepada Perdana Menteri yang sering mencanang akan kehebatan 1MDB ini walau dikritik keras oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut berkata 1MDB telah diberi dua kali lanjutan atau 'loan extension', setelah pihak bank ingin mengambil tindakan 'event of default', barulah syarikat milik kerajaan itu membuat pembayaran.

 "Sungguh jelas, terang dan nyata 1MDB ini adalah salah satu skandal kewangan terbesar negara di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak yang masih berada di dalam “denial syndrome”.

"Para penasihat PM mahupun Pegawai Kanan di Kementerian Kewangan sepatutnya bertindak berani untuk menyelesaikan isu 1MDB ini segera sebelum kanser ini merebak kepada seluruh sistem kewangan dan melumpuhkan ekonomi Malaysia," tambah beliau.

Beliau yang menuntut agar 1MDB tampil dengan berani dan telus untuk memberi penjelasan kepada umum berkaitan segala misteri dan persoalan yang berbangkit.

Mahfuz yang juga menggesa agar Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memanggil dan menyiasat bagi mencari jawapan berhubungan kedudukan kewangan sebenar 1MDB.

"Usahlah menjadi seperti kata pepatah “bagai harimau yang hilang taringnya” sehingga sanggup membiarkan 1MDB ini terus diberikan keistimewaan demi mencapai matlamat pihak tertentu," kata Ketua Whip Ahli Parlimen PAS itu lagi. – HARAKAHDAILY 18/1/2015

No comments:

Post a Comment